Monday, July 18, 2011

::AL-MIZAN-Cinta & Cita2::


gambar sekadar hiasan..






"Cintaku bukan di atas kertas, cintaku getaran yang sama,

tak perlu dipaksa, tak perlu dicari,
kerna ku yakin ada jawabnya."
Tutuplah kelopak mata dan selamilah pengertian sedalam lautan kalimah CINTA. Dengarkanlah setiap rentak dalam nalurimu apabila ungkapan romantis CINTA dituturkan, saat tangis seakan gerimis, saat jiwa seakan berduka dan saat hati seakan sunyi. Benarkah kata orang CINTA tidak punya mata tapi hanya ada hati.
Kebanyakan kita mentafsir cinta dengan membayangkan sepasang kekasih, tersimpul dalam ikatan kasih sayang, mengalir sederas aliran di detak rindu, berbenih dan berbunga di telaga sukma. Hakikatnya, CINTA adalah ungkapan yang bukan sekadar ungkapan. CINTA adalah sebuah anugerah yang nilainya bukan segunung waima selautan emas sekalipun. Yakinlah, suburnya keimanan, teguhnya kepercayaan dan tulusnya kehambaan adalah kerana wujudnya CINTA.
Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W:
"Tidak sempurna Iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."
CITA-CITA adalah garapan impian dan harapan seseorang akan masa depannya. Motivasi paling setia dalam rangka sebuah kejayaan, pembakar semangat kental dalam menapak maju ke hadapan. Sebuah eskalator termaju dalam pencarian erti kehidupan sebenar. Insan tanpa CITA-CITA, ibarat aliran air dari pergunungan menuju ke dataran rendah. Terus mengalir namun tiada pedoman arah tujunya.
CITA-CITA adalah ibarat sebuah bangunan, terbina dari susunan batu-bata kekentalan, tercantum dengan simen pengetahuan dan terteguh dengan pasir keyakinan. CITA-CITA bukanlah hanya ingin menjadi ternama, mempunyai prospek kerjaya mahupun menjadi usahawan berjaya, namun CITA-CITA tertinggi adalah menggapai keredhaan Illahi duniawi juga ukhrawi.
Renungilah, apakah wujud al-Mizan CINTA dan CITA-CITA? Perlukah CINTA itu dipisahkan dengan CITA-CITA? Mampukah CITA-CITA itu dipertahankan tanpa sebuah CINTA? Haruskah CINTA itu hadir setelah diperoleh CITA-CITA?
Percayalah, CINTA dan CITA-CITA adalah dua komponen yang seiring landas geraknya, saling melengkapi dalam memperteguh matlamat keduanya. Ibarat perlunya malam kepada siang, signifikannya suami kepada isteri dan hadirnya cahaya dalam kegelapan.
Dalam travelog CITA-CITA, kita perlukan kekuatan, menahan segala dugaan dan rintangan yang bukan sedikit cuma dan hadirnya CINTA sebagai sumur dalam perjuangan.
Sebab itulah perlu ditegaskan bahawa pengertian CINTA itu luas lingkup tafsirannya. Rahmat Allah adalah CINTA buat  kita, kasih sayang ibu bapa adalah CINTA buat kita, sokongan sahabat-sahabat adalah CINTA juga buat kita. Mustahillah, bagi kita andai dikatakan semua ini tidak perlu dalam mengejar kemurniaan CITA-CITA. CINTA adalah teman setia CITA-CITA. Raja kepada CINTA ini adalah hati yang dijalin atas nama Maha Pencipta.
Oleh itu, fikirlah tentang al-Mizan CINTA dan CITA-CITA. Yang halus timbangannya, atas redha Allah CINTA dan CITA-CITA bersatu. Walaupun siapa kita, tanah mana kita berpijak dan langit mana kita bernaung, janganlah sesekali kita pisahkan keduanya. Moga atas jambatan CINTA Allah, bertautlah keimanan tulus dalam naluri kita yang kudus, dan moga atas rahmat Allah jugalah, CITA-CITA yang digarap atas nama CINTA-NYA mampu digapai dalam inayahnya.
Insya-Allah.

Thursday, June 23, 2011

::Lagi SaYaNg....... Lagi DiUji::




"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?" satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.
"Macam mana kalau tak betul?"
Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.
Adikku,
Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.
Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?
Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya: 
"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."(Surah Ar-Rum: 36-37)
Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu
Adikku,
Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?
Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?
Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.
Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?
Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.
Ujian Ini Nikmat Keimanan
Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah Al-Ankabut: 3-4) 
Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?
Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?
Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah
Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?
Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?
Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.
Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.
Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!

Wednesday, June 22, 2011

::BerCinta sebelum VS sElepas Kawen::

Indahnya bercinta selepas kahwin,hanya akan dirasasi oleh insan-insan yang menghargai dan mengalaminya.
Namun bagi sesetengah manusia beranggapan bahawa percintaan selepas kahwin tanpa mengenali dan bercinta dengan pasangan mereka sebelum berkahwin adalah mustahil untuk dikecapi.
Walhal,yang sebenarnya Allah Swt telah memberi kita garis panduan untuk mengecapi kebahagiaan dan segala galanya bermula daripada redha Allah swt. Perkahwinan adalah perkara yang amat dituntut dalam Islam. Dengan Berkahwin secara sah, perkara yang haram akan menjadi halal dan maksiat akan dijauhi.
Terdapat banyak kebaikan bercinta selepas kahwin manakala bercinta sebelum kahwin lebih membawa kepada keburukan berbanding kebaikan.
Antara Kebaikan-kebaikan bercinta selepas berkahwin:
Selepas berkahwin ungkapan "I love you" adalah sesuatu yang indah dan tidak salah diungkapkan oleh pasangan.Malah ia dapat memekarkan percintaan antara suami isteri.
Malah,berjalan berpegangan tangan juga tidak salah kerana ianya halal dan menambahkan kemesraan antara pasangan.
Apatah lagi jika kita dikurniakan pasangan yang soleh dan solehah..alhamdulillah kita akan bahagia hingga ke akhir hayat.Pasangan yang sentiasa mencari Madrotillah akan mengecapi keindahan bercinta selepas berkahwin.Segala maksiat akan dapat dielakkan.
Kebahagiaan duniawi dan ukhrawi juga turut sama-sama dapat diseimbangkan.Matlamat utama tentunya syurga dan keredhaan Allah.
"Manusia akan bercinta lagi disyurga,tempat pertama yang melahirkan cinta.Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah yang berharga dan bernilai".
Bercinta sebelum kahwin:
Pasangan yang belum ada apa-apa ikatan,tetapi kemesraan sudah mengalahkan suami isteri.Kata mereka,zaman dah berubah,dunia dah maju.Hidup hanya sekali.
Bercinta bagai nak rak,bila putus ditengah jalan mulalah buat perkara yang bukan-bukan,lebih teruk lagi ada yang cuba untuk membunuh diri apabila kecewa kerana kata mereka,hidup sudah tiada guna tanpa cinta daripada pasangan mereka.
Ungkapan-Ungkapan romantis seperti
"I love you my dear..".
"I love you so much darling...".
"I tak boleh hidup tanpa sayang...".
"Sehari tak berjumpa,serasa setahun..."
"Rindunya...i.."akan kerapkali dialunkan oleh pasangan-pasangan yang bercinta kepada pasangan masing-masing
Pasangan yang mendengarnya pula,tentu rasa dihargai yang teramat sangat dan terpesona dengan ungkapan-ungkapan berbunga seperti itu.Maka,mulalah orang ketiga datang dan memainkan peranannya .Bisikan halus dan pujuk rayu yang mempersonakan akan ditiup lembut ketelinga pasangan-pasangan yang sedang hangat bercinta.Akhirnya mereka berjaya juga meramaikan ahli kelab neraka,dan mereka pasti bertepuk tangan meraikan kegembiraan dan kemenangan.Dosa-dosa pun akan meningkat dan menggunung.Pelbagai jenis maksiat akan dilakukan tanpa rasa bersalah kepada Allah.
Jika ada yang menasihati atau melarang tentu mereka akan berkata:
"Cinta apakah namanya ini,jika tidak ada dating,calling,chatting,sms romantik,surat cinta,bersentuhan tangan,kerlingan dan senyuman".
Renungilah Firman-Firman ALLAH:
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu". (An-Nisaa' ayat:1)
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui". (An-Nuur ayat:21)
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia". (An-Nuur ayat:26)
Hayatilah Sabda Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam:
"Kepadaku diberikan tiga idaman oleh ALLAH di dunia:isteri solehah,berwangi-wangian dan sejik mata (jiwa) ku dalam sembahyang". (Hadis Riwayat Ahmad dan An Nasai).
"Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan seorang wanita di tempat sunyi melainkan syaitanlah orang ketiganya". 
Marilah kita sama-sama renung samada kita tergolong dalam manusia yang beriman atau sebaliknya.