Monday, February 13, 2012

surat dari perindu ilahi....


Assalamualaikum......
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani,
Masa saya mula menulis . Hati saya tenang, jiwa saya selesa. Berbanding dengan jiwa saya sebelum ini. Jiwa saya yang meracau-racau, yang hari-hari meminta pada matahari supaya terus membakar diri saya supaya hilang dari muka bumi ini, yang berjalan-jalan tanpa arah di bandaraya Kuala Lumpur dan memanjat tangga-tangga bangunan lama untuk ke rooftop yang saya anggap merupakan tempat paling indah di dunia.
Dulu, saya suka pada warna kelabu, kerana saya mahukan suram pada kelabu itu. Saya sukakan langit yang mendung, kerana saya tahu jiwa saya mendung, dan saya suka pada sesuatu yang lusuh , kerana saya mahu satu dunia tahu betapa lusuh dan buruknya diri dan jiwa saya.
Tapi itulah realitinya. Itulah saya yang hilang , Yang sengaja mahu menjauhkan diri pada Tuhan yang satu, yang jatuh dan mahu terus jatuh.
Tak bersyukur kan??

Namun apa yang pasti, saya kini, menangis pada Ilahi dan tersenyum pada mentari.
Kerana apa yang saya cari selama ini, yang tak pernah saya jumpa di tepi-tepi jalan atau di lorong-lorong kecil akhirnya saya ketemu. Saya ketemu.
Dengan nama Tuhan pemilik seluruh alam, tiada apa yang pernah membuatkan saya tidur sebegini nyenyak, dengan mimpi bermain di taman indah bersama sang kancil melainkan setelah saya kembali kepada Tuhan yang maha penyayang, Allah s.w.t.
Alhamdulillah, Allah itu maha pemurah, diberinya saya berlimpah-limpah keindahan selepas saya redha hati bersujud sepenuh padanya. Dan menangis melihat kecantikan semua ciptaannya.
Saya kini sepenuhnya berserah diri pada Allah yang maha-esa.
"Aku bersumpah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah"
Ameen.....
Yang benar,
Hamba rindu Ilahi

No comments:

Post a Comment